Friday 3 December 2010

Syita: Musim Terbaik Kita

Sejuk-sejuk begini, saya selalu terkenang dialog dahulukala bersama rakan-rakan Arab.

"Apa yang istimewanya Jordan dengan winter?"

"Istimewa? Nothing!"

"Eh, taklah. Istimewanya adalah Jordan ada huruf 'r' kecil. Winter pun ada huruf 'r' kecil."

Serentak kami ketawa. Kalau Sanaa bersuara, memang tak kering gusi kami dibuatnya.

"Eh, mana boleh begitu. Israel pun ada huruf 'r' kecil juga!"

Sekali lagi gelak tawa kami menggamit suasana. Dinginnya angin yang menyapa kurang terasa apabila kehangatan ukhuwah menyelubungi. Musim sejuk atau musim syita' di Jordan sememangnya meninggalkan kenangan manis yang tersendiri. Bagaikan baru semalam rakan saya menjerit kegirangan saat melihat orang salji yang dibina di atas kereta. Salji biasanya hanya turun di tempat-tempat tinggi melebihi 850 meter seperti Ajloun dan Shobak, maka kereta yang lalu-lalang di Irbid dari tempat-tempat tersebut menimbulkan rasa cemburu kepada kami dengan orang-orang salji yang gah terpamer di atas bumper, bahagian hadapan kereta, dan sebagainya.

Bagi saya, Irbid memiliki keindahan yang berlainan pada setiap musim. Di ambang musim sejuk ini, kelihatan daun-daun luruh berputar sendiri menyaingi pejalan kaki. Pemandangan bunga-bunga mawar yang semakin mekar pula mampu untuk menghilangkan kesedihan di hati. Daun-daun di pohonan bertukar warna menjadi oren dan merah, panorama yang jarang ditemui di Malaysia. Dengan cuaca yang sejuk, minda kita sentiasa segar dan kita tidak mudah berasa penat. Kalau hendak disimpulkan dengan gaya bahasa anak-anak muda sekarang, "Memang heaven!"

Rupa-rupanya Rasulullah s.a.w pun sangat meraikan musim sejuk. Di dalam 'Majma' Az-Zawaid'(3/203), ada hadith hasan yang berbunyi:

"Musim sejuk adalah musim yang terbaik bagi orang-orang beriman. Malamnya panjang, lalu dia berqiamullail padanya. Siangnya pendek, lalu dia berpuasa padanya."

Saya dan sahabat-sahabat selalu mengaitkan musim sejuk dengan makan yang banyak sepanjang masa tanpa henti dan tidur yang berjam-jam lamanya. Kononnya dah belajar pasal metabolism badan! Sedih juga dengan diri sendiri bila memikirkan jurang perbezaan mentaliti kita dengan para salafussoleh. 'Ubayd bin 'Umayr pernah berkata di awal musim sejuk, "Wahai umat al-Quran! Malam kamu sekarang menjadi panjang untuk kamu membaca Al-Quran di dalamnya. Maka bacalah! Siang kamu menjadi pendek untuk kamu berpuasa di dalamnya. Maka berpuasalah! Qiamullail di malam musim sejuk menyamai berpuasa di siang hari musim panas." Malah, Muadz bin Jabal di saat-saat akhir sebelum kematiannya menangis kerana mengungkapkan kerinduannya untuk menghidupkan malam-malam musim sejuk.

Saya masih ingat hikayat-hikayat senior yang melayan saya selepas baru beberapa hari saya menjejakkan kaki ke Dataran Syam ini.

"Nanti musim sejuk, awak ambil gambar sebelum dan selepas!"

"Sebelum dan selepas?"

"Yalah, nanti awak nampak perbezaan. Sebelum musim sejuk, normal. Semasa dan selepas musim sejuk, muka jadi bulat macam belon!"

Sangat melucukan, tetapi ada kebenarannya. Dan hikayat ini turut saya wariskan kepada adik-adik yang saya sambut. Namun di dalam hadith riwayat Ahmad, Rasululllah s.a.w bersabda, "Berpuasa di musim sejuk adalah hadiah kemenangan yang mudah." Betapa benarnya bicara Nabi kita yang tercinta ini, kita ibarat dimanjakan Allah dengan nikmat musim sejuk. Ringan sekali untuk kita melakukan ibadah puasa dan mendapatkan ganjaran-Nya tanpa kita betul-betul merasai kesusahan atau keperitan lapar dahaga. Bila kawan kita belanja makan, kita rasa sangat bahagia sebab dapat nikmat makanan tanpa perlu bersusah-payah. Bila Allah hendak memberi nikmat ibadah yang mudah tanpa perlu kita berpenat-lelah, seharusnya timbul rasa bahagia yang berganda-ganda dalam diri kita. Andai mahasiswa-mahasiswi Malaysia di Jordan ini rajin melazimi amalan berpuasa, insya Allah isu pertambahan berat badan tidak lagi menjadi topik perbincangan yang hangat di kala musim sejuk.

Memiliki hirom, sarung tangan, stokin tebal, pullover, muffler dan pakaian-pakaian musim sejuk yang lain pastinya memberikan pengalaman sulung yang menarik untuk pelajar-pelajar baru. Orang-orang Arab biasanya akan menghangatkan badan dengan cara meminum adas (ibarat kacang kuda hot-blended) dan sahlab (susu likat panas). Antara tradisi mereka ialah berkumpul satu keluarga dan membakar kastana atau chestnut untuk dinikmati beramai-ramai. Sekali-sekala, cubalah cari peluang untuk bersama-sama mereka!

p/s: ditulis khas atas permintaan portal PERMAI~ www.permaijordan.com

1 comment:

  1. nanti kita pon nak wariskan ayat yang samalah kat junior tahun ni =p
    hehehe

    ReplyDelete