Wednesday 24 November 2010

Mengkaji, bukan sekadar mengaji

"Masha Allah alaik!" "Masha Allah alaik!" "Masha Allah alaik!"

Saat saya menjawab saya mengambil bidang perubatan, pasti puji-pujian yang melangit tinggi meluncur keluar daripada mulut orang yang bertanya. Situasi ini bukan sahaja berlaku di Jordan, masyarakat Malaysia juga sangat memandang hormat kepada pelajar fakulti perubatan dan pergigian. Rasanya semua orang pernah melalui pengalaman diasak dengan pelbagai soalan bertubi-tubi yang berhubung kait dengan masalah kesihatan, kaedah rawatan, ubat-ubatan dan sebagainya. Kita terpaksa mempamerkan muka yang tenang sedangkan hati kita menjerit, "Tapi saya baru tahun satu la makcik! Tahun satu!"

Saya takut andai kepercayaan yang masyarakat berikan ini kita khianati. Menjadi mahasiswa muslim kelas pertama memerlukan kesungguhan yang luar biasa, bukan sekadar usaha yang biasa-biasa.

1. Membaca, Berfikir dan Mentafsir
Dakam kesibukan kita menghadapi peperiksaan demi peperiksaan demi peperiksaan, kadang-kadang kita lupa untuk berfikir secara kritis. Walhal, musuh-musuh Islam menyerang pemikiran kita secara halus dan berseni.

Buku Fundamentals of Physiology karangan Lauralee Sherwood diusung oleh kita ke sana ke mari, gigih menekuni ilmu peredaran darah dalam badan. Sedar tidak sedar, berlaku penipuan yang jelas dalam buku tersebut mengenai sejarah penemuan teori sistem peredaran pulmonari.

"Most notably, the English physician William Harvey (1578-1657) revolutionized the view of the roles played by heart, blood vessels and blood. Through careful observations, experimentation and deductive reasoning, Harvey was first to correctly identify the heart as a pump that repeatedly moves a small volume of blood forward in one fixed direction in a circular path through a closed system of blood vessels (the circulatory system). He also correctly proposed that blood travels to the lungs to mix with air." [Fundamentals of Physiology, Lauralee Sherwood, M/s 279]

Perenggan yang dipetik ini sangat melucukan kerana Ibn Al-Nafis (1210-1288) telah menerangkan konsep peredaran darah dengan mendalam dalam bukunya "Sharh Al-Qanun" tiga ratus lima puluh tahun lebih awal daripada William Harvey. Ibn Al-Nafis menggambarkan bahawa jantung mempunyai ventrikel septum yang kukuh dan tidak ada sebarang laluan antara bahagian kanan jantung dan bahagian kiri jantung. Ibn Al-Nafis juga menyimpulkan bahawa darah daripada ventrikel kanan hanya dapat disalurkan ke bahagian kiri jantung melalui paru-paru.

Pada tahun 1957, Professor Dr J B Latham daripada University of Manchester telah mengakui hakikat ini sewaktu ulangtahun kematian William Harvey, malah kenyataannya dilaporkan dalam Sunday Times. Sekarang kita sudah berada di tahun 2010, malangnya mata kita masih dikelabui oleh penulis-penulis Barat dan juga sistem pendidikan sekular yang sedang kita jalani ini.

Banyak lagi percanggahan fakta yang saya temui dalam buku-buku yang menjadi silibus wajib bagi mahasiswa perubatan dan pergigian JUST seperti buku Burton's Microbiology, Campbell's Biology dan lain-lain lagi. Bukanlah niat saya untuk memperlekehkan buku-buku ini, tidak sama sekali. Cukup saya simpulkan bahawa pembacaan sahaja tidak cukup, kita perlu berfikir secara kritikal, memproses bahan bacaan kita. Pemikiran yang kritikal sahaja tidak cukup, kita perlu mentafsir berdasarkan sumber-sumber rujukan yang variasi.

2. Ilmu Ditambah Iman Ditingkat
Tidak ada siapa yang dapat menafikan bahawa masyarakat hari ini sangat mendambakan tokoh-tokoh yang bukan sahaja kuat intelektualnya, malahan kuat juga rohaninya. Hati saya selalu sayu melihat doktor-doktor yang hebat ilmunya, tetapi tidak mampu melawan nafsu menghisap puntung-puntung rokok yang memudharatkan diri mereka. Hati saya sentiasa syahdu mengenangkan pelajar-pelajar perubatan dan pergigian yang perbualannya masih berlegar-legar sekitar hiburan sahaja.

"Alaa, standard la pelajar medic macam ni! Kita orang tak alim macam pelajar syariah!"

Kadang-kadang kita lupa bahawa Rasulullah s.a.w telah mengajarkan kita doa, "Ya Allah, kurniakanlah kami ilmu yang bermanfaat." Rasulullah s.a.w juga pernah bersabda, " Ya Allah, aku berlindung kepadamu dari ilmu yang sia-sia."

Apapun bidang yang kita ceburi, ayuh pastikan ilmu yang kita berpenat lelah kerananya itu mendatangkan faedah untuk dunia dan akhirat kita. Mengkaji berlainan daripada sekadar mengaji. Ibnu Rushd, seorang pengamal perubatan dan ahli falsafah pernah mengungkapkan kata-kata,
"He who is engaged in the science of anatomy, increases his belief in God."
(Seseorang yang mendalami ilmu anatomi, pasti meningkat imannya kepada Allah.)

Ilmuan-ilmuan Islam dahulu cemerlang kerana mereka faham bahawa menuntut ilmu itu adalah kewajipan dan kemestian bagi seorang hamba yang inginkan keredhaan Allah. Cemerlang mereka tiada bandingnya kerana ilmu yang mereka perolehi itu membuatkan ketaqwaan dan keimanan mereka kepada Allah semakin utuh. Senang cakap, hubungan antara ilmu dan iman itu directly proportional!

Sepanyol di bawah pentadbiran orang-orang Islam mengambil masa kurang daripada setengah abad untuk mencapai kemuncak dalam tamadun manusia, hal yang tidak mampu dicapai oleh Itali yang berada di bawah pemerintahan paderi-paderi walaupun dalam masa seribu tahun. Semoga semakin banyak mutiara ilmu yang dikutip, semakin banyak peperiksaan yang dilalui, semakin bertambahnya rasa khusyuk kita menghayati kebesaran Allah. Semangat generasi Islam yang lampau mengkaji ilmu harus kita jadikan motivasi untuk terus menyahut seruan Allah, "Dan di dalam diri kamu, maka tidakkah kamu perhatikan?" [Adz-Dzariyat:21]

*****
Pembelajaran dan pengkajian kita sepanjang berada di JUST ini ditentukan oleh diri kita sendiri. Beruntunglah bagi orang-orang yang berbeza, yang menjadikan tempoh lima atau enam tahun di sini sebagai suatu tempoh yang istimewa. Tanpa kesedaran dan penghayatan, kita akan mudah terbelenggu dengan rutin. Saya suka mengulang kata-kata Muhannad At-Tahir,
"Islam itu hebat, tidak mampu untuk memikulnya kecuali orang yang hebat. Maka jadilah kamu orang yang hebat!"

p/s: khas ditulis untuk Volition Edisi 1 2010. Selamat maju jaya JKK PM PERMAI!

No comments:

Post a Comment