Wednesday 24 November 2010

Mengkaji, bukan sekadar mengaji

"Masha Allah alaik!" "Masha Allah alaik!" "Masha Allah alaik!"

Saat saya menjawab saya mengambil bidang perubatan, pasti puji-pujian yang melangit tinggi meluncur keluar daripada mulut orang yang bertanya. Situasi ini bukan sahaja berlaku di Jordan, masyarakat Malaysia juga sangat memandang hormat kepada pelajar fakulti perubatan dan pergigian. Rasanya semua orang pernah melalui pengalaman diasak dengan pelbagai soalan bertubi-tubi yang berhubung kait dengan masalah kesihatan, kaedah rawatan, ubat-ubatan dan sebagainya. Kita terpaksa mempamerkan muka yang tenang sedangkan hati kita menjerit, "Tapi saya baru tahun satu la makcik! Tahun satu!"

Saya takut andai kepercayaan yang masyarakat berikan ini kita khianati. Menjadi mahasiswa muslim kelas pertama memerlukan kesungguhan yang luar biasa, bukan sekadar usaha yang biasa-biasa.

1. Membaca, Berfikir dan Mentafsir
Dakam kesibukan kita menghadapi peperiksaan demi peperiksaan demi peperiksaan, kadang-kadang kita lupa untuk berfikir secara kritis. Walhal, musuh-musuh Islam menyerang pemikiran kita secara halus dan berseni.

Buku Fundamentals of Physiology karangan Lauralee Sherwood diusung oleh kita ke sana ke mari, gigih menekuni ilmu peredaran darah dalam badan. Sedar tidak sedar, berlaku penipuan yang jelas dalam buku tersebut mengenai sejarah penemuan teori sistem peredaran pulmonari.

"Most notably, the English physician William Harvey (1578-1657) revolutionized the view of the roles played by heart, blood vessels and blood. Through careful observations, experimentation and deductive reasoning, Harvey was first to correctly identify the heart as a pump that repeatedly moves a small volume of blood forward in one fixed direction in a circular path through a closed system of blood vessels (the circulatory system). He also correctly proposed that blood travels to the lungs to mix with air." [Fundamentals of Physiology, Lauralee Sherwood, M/s 279]

Perenggan yang dipetik ini sangat melucukan kerana Ibn Al-Nafis (1210-1288) telah menerangkan konsep peredaran darah dengan mendalam dalam bukunya "Sharh Al-Qanun" tiga ratus lima puluh tahun lebih awal daripada William Harvey. Ibn Al-Nafis menggambarkan bahawa jantung mempunyai ventrikel septum yang kukuh dan tidak ada sebarang laluan antara bahagian kanan jantung dan bahagian kiri jantung. Ibn Al-Nafis juga menyimpulkan bahawa darah daripada ventrikel kanan hanya dapat disalurkan ke bahagian kiri jantung melalui paru-paru.

Pada tahun 1957, Professor Dr J B Latham daripada University of Manchester telah mengakui hakikat ini sewaktu ulangtahun kematian William Harvey, malah kenyataannya dilaporkan dalam Sunday Times. Sekarang kita sudah berada di tahun 2010, malangnya mata kita masih dikelabui oleh penulis-penulis Barat dan juga sistem pendidikan sekular yang sedang kita jalani ini.

Banyak lagi percanggahan fakta yang saya temui dalam buku-buku yang menjadi silibus wajib bagi mahasiswa perubatan dan pergigian JUST seperti buku Burton's Microbiology, Campbell's Biology dan lain-lain lagi. Bukanlah niat saya untuk memperlekehkan buku-buku ini, tidak sama sekali. Cukup saya simpulkan bahawa pembacaan sahaja tidak cukup, kita perlu berfikir secara kritikal, memproses bahan bacaan kita. Pemikiran yang kritikal sahaja tidak cukup, kita perlu mentafsir berdasarkan sumber-sumber rujukan yang variasi.

2. Ilmu Ditambah Iman Ditingkat
Tidak ada siapa yang dapat menafikan bahawa masyarakat hari ini sangat mendambakan tokoh-tokoh yang bukan sahaja kuat intelektualnya, malahan kuat juga rohaninya. Hati saya selalu sayu melihat doktor-doktor yang hebat ilmunya, tetapi tidak mampu melawan nafsu menghisap puntung-puntung rokok yang memudharatkan diri mereka. Hati saya sentiasa syahdu mengenangkan pelajar-pelajar perubatan dan pergigian yang perbualannya masih berlegar-legar sekitar hiburan sahaja.

"Alaa, standard la pelajar medic macam ni! Kita orang tak alim macam pelajar syariah!"

Kadang-kadang kita lupa bahawa Rasulullah s.a.w telah mengajarkan kita doa, "Ya Allah, kurniakanlah kami ilmu yang bermanfaat." Rasulullah s.a.w juga pernah bersabda, " Ya Allah, aku berlindung kepadamu dari ilmu yang sia-sia."

Apapun bidang yang kita ceburi, ayuh pastikan ilmu yang kita berpenat lelah kerananya itu mendatangkan faedah untuk dunia dan akhirat kita. Mengkaji berlainan daripada sekadar mengaji. Ibnu Rushd, seorang pengamal perubatan dan ahli falsafah pernah mengungkapkan kata-kata,
"He who is engaged in the science of anatomy, increases his belief in God."
(Seseorang yang mendalami ilmu anatomi, pasti meningkat imannya kepada Allah.)

Ilmuan-ilmuan Islam dahulu cemerlang kerana mereka faham bahawa menuntut ilmu itu adalah kewajipan dan kemestian bagi seorang hamba yang inginkan keredhaan Allah. Cemerlang mereka tiada bandingnya kerana ilmu yang mereka perolehi itu membuatkan ketaqwaan dan keimanan mereka kepada Allah semakin utuh. Senang cakap, hubungan antara ilmu dan iman itu directly proportional!

Sepanyol di bawah pentadbiran orang-orang Islam mengambil masa kurang daripada setengah abad untuk mencapai kemuncak dalam tamadun manusia, hal yang tidak mampu dicapai oleh Itali yang berada di bawah pemerintahan paderi-paderi walaupun dalam masa seribu tahun. Semoga semakin banyak mutiara ilmu yang dikutip, semakin banyak peperiksaan yang dilalui, semakin bertambahnya rasa khusyuk kita menghayati kebesaran Allah. Semangat generasi Islam yang lampau mengkaji ilmu harus kita jadikan motivasi untuk terus menyahut seruan Allah, "Dan di dalam diri kamu, maka tidakkah kamu perhatikan?" [Adz-Dzariyat:21]

*****
Pembelajaran dan pengkajian kita sepanjang berada di JUST ini ditentukan oleh diri kita sendiri. Beruntunglah bagi orang-orang yang berbeza, yang menjadikan tempoh lima atau enam tahun di sini sebagai suatu tempoh yang istimewa. Tanpa kesedaran dan penghayatan, kita akan mudah terbelenggu dengan rutin. Saya suka mengulang kata-kata Muhannad At-Tahir,
"Islam itu hebat, tidak mampu untuk memikulnya kecuali orang yang hebat. Maka jadilah kamu orang yang hebat!"

p/s: khas ditulis untuk Volition Edisi 1 2010. Selamat maju jaya JKK PM PERMAI!

Monday 15 November 2010

Korban Cinta

Saya pernah berpeluang menyaksikan Eidul-Adha disambut di Mesir. Cukup meriah! Di Jordan, penyembelihan haiwan-haiwan ternakan dipantau dan kebanyakannya dilakukan di ladang-ladang khas. Situasi di Mesir sangat berbeza, darah mengalir laju membasahi jalan-jalan raya, ada kaki lembu yang tercampak di bawah kereta, dan ada kepala kambing yang tersesat di kaki lima. Gambaran lahiriah yang mengujakan saya, tetapi hakikatnya konsep pengorbanan atau tadhiyah dalam Islam bukan hanya terbatas kepada korban binatang.

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Ada tiga perkara, yang jika tiga hal itu ada pada seseorang, maka dia akan berasakan manisnya iman. (Iaitu) Allah dan Rasul-Nya lebih dia cintai daripada selain keduanya; mencintai seseorang, dia tidak mencintainya kecuali kerana Allah; benci untuk kembali kepada kekufuran selepas Allah menyelamatkan darinya, seperti bencinya jika dicampakkan ke dalam api.
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim dari Anas bin Malik ra)

Dalam ziarah saya ke Turki sewaktu bulan Ramadhan, saya menyertai majlis berbuka puasa yang antara objektifnya adalah meraikan 2 orang saudara baru yang memeluk Islam. Kisah kedua-duanya memang hebat. Seorang wanita berasal dari Filipina dan seorang lagi wanita asalnya dari Poland. Lesia, wanita Poland itu menceritakan bagaimana dia berusaha mengenali Islam dalam keadaan masyarakat sekelilingnya, tiada seorang pun yang beragama Islam. Dia mengorbankan cintanya terhadap keluarganya, cintanya terhadap tanah-airnya, dan cintanya terhadap keselesaan hidup yang dinikmati sekian lama. Korban cinta yang dia lakukan membawanya ke Turki, lantas bumi asing itu menjadi tempat dia menumpang teduh, mengecapi kemanisan iman. Kisahnya mengetuk hati saya, dan akal menjadi bingung memikirkan apakah korban cinta yang telah saya lakukan untuk Allah..

Suatu hari, ada seorang adik yang cukup saya senangi meluahkan rasa hatinya. Dia mengaku yang dia gemar melihat drama-drama Korea, dan sedang ke arah membaiki diri meninggalkan kegemarannya itu. Mungkin ada yang pelik, menonton drama Korea bukanlah suatu kesalahan besar. Namun, pengakuan adik tadi menambahkan rasa hormat saya terhadap dirinya. Dalam keadaan ummah yang sedang nazak ini, berapa ramai daripada kita yang memandang ringan aktiviti-aktiviti yang kita lakukan untuk mengisi masa senggang. Sedangkan Salahuddin Al-Ayyubi mampu untuk berkata, "Bagaimana aku ingin ketawa sedangkan masjid Al-Aqsa masih di bawah jajahan musuh?"

Adik itu menyedarkan saya, rupa-rupanya saya terlepas pandang korban-korban cinta yang boleh dilakukan dalam kehidupan seharian. Betapa saya perlu mengorbankan cinta untuk terus berborak dengan emak apabila kedengaran laungan azan, betapa saya perlu mengorbankan cinta terhadap kerehatan apabila datangnya tetamu membawa berkat, dan betapa saya perlu mengorbankan cinta tehadap buku-buku cerita memandangkan banyak lagi buku akademik serta buku fikrah yang masih belum diselak. Semoga Allah memberi kekuatan kepada kita untuk melaksanakan korban-korban cinta, ikhlas kerana-Nya.

Daging dan darah binatang korban itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepada-Nya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan taqwa dari kamu. Demikianlah Dia memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat nikmat petunjuk-Nya. Dan sampaikanlah berita gembira (dengan balasan yang sebaik-baiknya) kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amalnya.
(al-Hajj: 36-37)


p/s: Eid Mubarak kpd keluarga dan sahabat-sahabat tersayang!

Sunday 7 November 2010

FAQ Pilihan Raya Jordan 2010

Sering kali kita mengeluh, kesal memikirkan kes gangguan di Irbid yang semakin kronik. Pernah juga terlintas di hati, saudara-saudara Arab kita di sini, seolah-olah tidak berkasih-sayang dengan kita. Sakit, derita, demam kita tidak diambil tahu. Persoalannya, adakah kita mengambil berat dengan sakit, derita, demam mereka? Sejauh manakah kita bertanya khabar mereka, mengetahui isu-isu yang sedang melingkari mereka?

FAQ PILIHAN RAYA JORDAN 2010

Apa?
Mutakhir ini, saya sering ditanya "Jordan ada parlimen ke kak? Bukan sekadar sistem monarki ke?" Benar, Jordan mempunyai raja yang bertindak sebagai ketua negara, kini dipegang oleh Raja Abdullah II bin Al-Hussein. Jawatan raja adalah secara warisan, daripada ayah kepada anak. Mungkin kerana gambar Raja Abdullah II yang lebih glamor terpampang di semua tempat menyebabkan tidak ramai pelajar Melayu yang mengenali Samir Al-Rifai, Perdana Menteri Jordan. Fungsi perdana menteri Jordan adalah untuk memimpin kerajaan. Namun, perdana menteri dilantik oleh raja, suatu pemberat yang menggambarkan kuasa raja di dalam pemerintahan negara.

Majlis Al-Ummah pula adalah komponen penting dalam kerajaan Jordan. Majlis Al-Ummah terbahagi kepada dua, Majlis Al-Ayan yang mempunyai 55 ahli yang dilantik oleh raja untuk berkhidmat selama 4 tahun, dan Majlis An-Nuwaab yang memiliki 120 ahli yang diundi dalam pilihanraya, juga untuk berkhidmat selama 4 tahun. Jika dibandingkan dengan tanah air kita secara kasar, Majlis Al-Ayyan diumpamakan seperti Dewan Negara dan Majils An-Nuwaab diibaratkan seperti Dewan Rakyat. Bezanya dalam konteks negara kita, hanya 44 daripada 70 ahli Dewan Negara yang dilantik oleh Yang Dipertuan Agong.

Barangkali ada di antara kita yang masih pening memikirkan Batu Sapi dan Galas, sehingga terlepas pandang poster-poster yang digantung sekitar Irbid. Pilihan raya yang diadakan kali ini adalah proses bagi rakyat Jordan memilih ahli Majlis Al-Nuwaab. Saya sendiri julung-julung kali berpeluang menyaksikannya, malah sedikit teruja apabila melihat wajah doktor yang mengajar saya subjek Fisiologi di JUST menghiasi poster calon pilihan raya.

Bila?
Soalan ini mungkin mudah dijawab oleh kita kerana cuti umum yang diisytiharkan. Muhasabah kepekaan diri, adakah kita akan peka dengan tarikh 9hb November 2010 sekiranya kelas berjalan seperti biasa? Jika diteliti, sepatutnya pilihanraya Majlis Al-Nuwaab wajar diadakan pada November 2011, berdasarkan tempoh 4 tahun. Ini kerana pilihan raya lepas telah berlangsung pada 20 November 2007. Ada juga pihak yang nakal mengaitkan tarikh pilihan raya ini dengan peristiwa pengeboman 3 buah hotel di Amman yang berlaku pada tarikh yang sama pada tahun 2005.

Siapa?
Mereka yang berumur 18 tahun ke atas telah layak mengundi, 3 tahun lebih awal berbanding had umur kelayakan mengundi di Malaysia. Hati kecil saya mengharapkan pemuda Jordan telah sematang Usamah bin Zaid yang diberi kepercayaan sewaktu berusia 18 tahun untuk menjadi panglima tentera Islam melawan Rom. Hati kecil saya juga mendebatkan sama ada kerajaan Malaysia silap menilai dan menentukan usia untuk mengundi, atau sememangnya pemuda Malaysia belum menunjukkan tahap kematangan yang sepatutnya di usia 18 tahun.

Mengapa?
Berbicara dengan rakan-rakan dan masyarakat sekeliling, tidak ramai yang optimis dengan pilihan raya ini.

"Pakcik, pilihan raya selasa ni kan?"
"Erm, saya tak nak terlibat..malaslah saya nak keluar mengundi."
"Tak nak mengundi?!"
"Yalah, kalau saya pilih calon yang saya nak pun, akhirnya kerajaan yang tentukan calon mana yang menang. Kalau saya pilih mana-mana calon pun, akhirnya apa yang dia buat untuk saya? Tak ada apa-apa pun!"
".........................................................."

"Eh, engkau dah boleh mengundi kan? Aku tengok banyak calon bebas. Engkau kenal ke semua calon yang bertanding tempat kau?"
"Mana aku kenal semua."
"Habis tu orang-orang kat sini pilih bagaimana? Sekurang-kurangnya kalau atas tiket parti, bolehlah pilih berdasarkan agenda parti.."
"Alaa, orang kat sini pilih ikut puak-puak dia, takpun keluarga, takpun orang yang dia kenal."
"............................................."

Kita sebagai orang luar susah untuk menilai sejauh mana kebenaran bicara masyarakat tempatan. Tentunya setiap orang berbeza pandangan, dan kita kebiasaannya hanya sempat menanyakan pendapat empat atau lima orang. Namun berdasarkan analisa politik, ada beberapa faktor yang membuatkan sebahagian rakyat Jordan tawar hati dengan proses pilihan raya ini.

1. Undang-undang Pilihan Raya
Walaupun beberapa perubahan telah dibuat, tetapi sistem satu undi untuk setiap pengundi tetap dikekalkan. Kawasan-kawasan besar dikenali sebagai zon pilihan raya, dan dibahagikan kepada 108 pecahan kawasan kecil, dan setiap kawasan kecil mendapat satu kerusi. Bayangkan, seorang pengundi boleh memilih untuk mengundi sama ada calon dalam kawasan kecilnya atau mana-mana calon dalam kawasan besar atau zon pilihanraya-nya.

Rasa tidak puas hati juga timbul apabila kawasan yang bandar yang padat diperuntukkan jumlah kerusi yang sedikit berbanding kawasan kampung yang mempunyai bilangan penduduk yang sedikit.

2. Pemboikoton Pilihan Raya
Akibat undang-undang pilihan raya yang tidak adil, juga impak daripada pilihan raya 2007 yang dikatakan berlakunya pelbagai penipuan, جبهة العمل الإسلامي (Jabhah Al-Amal Al-Islami) telah memutuskan untuk tidak melibatkan mana-mana ahlinya menjadi calon dalam pilihan raya kali ini. Kesannya tentulah sangat besar kerana جبهة العمل الإسلامي merupakan parti politik yang paling tersusun dan mempunyai sokongan rakyat yang meluas. Suratkhabar-suratkhabar Jordan sendiri melaporkan bagaimana Perdana Menteri Jordan merayu kepada جبهة العمل الإسلامي untuk menyertai pilihan raya bagi menjaga nama baik proses demokrasi di Jordan dan bagi menjamin kredibiliti pilihan raya.

Bagi جبهة العمل الإسلامي , pemboikotan pilihan raya kali ini adalah untuk memprotes polisi-polisi kerajaan. Setiausaha Agungnya, Hamza Mansour, menegaskan bahawa undang-undang pilihan raya kerajaan hanya menggalakkan semangat kabilah atau berpuak-puak, memperkecilkan demokrasi, serta gagal untuk menepati cita dan aspirasi rakyat. Selain itu, parti Wehdah juga turut mengambil langkah memboikot pilihan raya serta mengadakan rapat umum dan usaha-usaha lain untuk mengajak rakyat bersama-sama dalam pemboikotan pilihan raya.

3. Tak Peduli
Terdapat beberapa slogan-slogan calon pilihan raya yang bagi saya sangat mencuit hati. Rakan-rakan Arab juga menjadikannya sebagai modal jenaka harian mereka. Mungkin rakyat yang mengambil sikap acuh tidak acuh dengan pilihan raya ini tidak boleh dipersalahkan seratus peratus. Ketiadaan calon yang pada pandangan mereka mempunyai hubungan dengan masyarakat setempat, mempunyai agenda yang jelas, dan bersemangat untuk melaksanakan perubahan yang realistik sedikit sebanyak mempengaruhi mood untuk mengundi. Sebahagian rakyat Jordan lebih tertarik untuk berbincang mengenai harga barangan yang melonjak naik daripada berdiskusi tentang pilihan raya, sebagai contoh harga tomato yang sudah mencecah 2JD sekilo; 10 kali ganda harga biasa, tentunya itu yang lebih merisaukan sebahagian daripada mereka!

Bagaimana?
Usaha kerajaan Jordan berkempen agak mantap dalam memastikan peratusan yang keluar mengundi tinggi. Poster-poster yang memberi motivasi untuk mengundi ditampal di seluruh tempat, sama ada universiti, pejabat, jalan-raya dan sebagainya. Kempen sm3nasotak juga agak canggih, lengkap dengan website http://sm3nasotak.blogspot.com/, facebook, twitter, mobile sms dan youtube. Setakat ini, seramai 853 calon yang bertanding untuk 120 kerusi.

عَنْ أَبِي حَمْزَةَ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ رَضِىَ الله عَنْهُ ، خَادِمِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَن
النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّم قَالَ: ((لاَ یُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى یُحِبَّ لِأَخِيْهِ مَا یُحِبُّ لِنَفْسِهِ )) رواه
البخاري

Semoga kita sentiasa cakna dengan isu masyarakat setempat, bukankah kita mahasiswa kelas pertama?

p/s: khas ditulis untuk paparan website www.ismajordan.com

Istimewanya 1-10 Zulhijjah

Muslim itu hebat kerana dia sentiasa mencari peluang untuk menaburkan manfaat!

Suatu hari, saya dan rakan-rakan sedang berborak kosong menunggu mu7adharah atau lecture seterusnya. Biasalah, dengan 3 lectures yang berderet bagi pelajar tahun 3 perubatan, sememangnya waktu menunggu lecturer seterusnya datang perlu digunakan sebaiknya untuk bergegas solat, mengisi perut, atau melakukan apa-apa sahaja bagi menghilangkan rasa mengantuk. Tiba-tiba, ada seorang rakan sibuk menari-narikan mouse komputer di hadapan ruang dewan, lalu terpancarlah sebuah hadith di hadapan dewan. Ah, cukup mengujakan! Usaha yang mudah, tetapi sangat bermakna.

Saya masih ingat hadith pertama yang dipancarkan..berkenaan menundukkan pandangan. Terus, perbualan kosong kami sebelum itu bertukar menjadi sesi koreksi dan muhasabah diri, mana tahu mata-mata kami yang liar adalah punca hadith itu menjadi pilihan untuk tatapan semua (cuak memikirkan persepsi manusia, dan takut lagi mengenangkan murka Allah sebenarnya). Alhamdulillah, sehingga hari ini usaha itu berterusan setiap hari. Hadith pada hari ini adalah berkenaan istimewanya 10 hari-hari pertama Zulhijjah, jadi macam best pula nak kongsi tulisan seorang ustaz ni.

Kelebihan 10 hari-hari pertama Zulhijjah

Ramai dari kita yang telah maklum kelebihan 10 malam-malam terakhir Ramadhan. Tetapi adakah ramai di kalangan umat kita yang maklum kelebihan 10 hari-hari pertama dalam bulan Zulhijjah?

Imam al-Bukhari Rahimahullah meriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas r.a bahawa Nabi s.a.w bersabda bermaksud, “Tiada suatu hari pun, amalan kebaikan padanya mempunyai kelebihan melainkan pada hari-hari ini – iaitu 10 hari Zulhijjah.”

Para sahabat baginda bertanya, “Tidak juga Jihad pada jalan Allah (mengatasi kelebihan hari-hari tersebut)?”

Ujar baginda, “Tidak juga Jihad di jalan Allah kecuali seorang yang keluar dengan jiwa raga dan hartanya dan tidak membawa pulang apa-apa pun (kerana habis disumbangkan untuk memenangkan agama Allah)”.

Imam Ahmad r.a. meriwayatkan dari Ibnu Umar r.a. bahawa Rasulullah s.a.w bersabda,
“Tiada suatu haripun, amalan kebaikan padanya mempunyai kelebihan melainkan pada hari-hari 10 Zulhijjah ini, oleh kerana itu perbanyakkanlah padanya tahlil (La Ilaha Illa Allah), takbir (Allah Akbar) dan tahmid (Alhamdu Lillah)”.

Ibnu Hibban di dam kitab Sahihnya meriwayatkan dari Jabir r.a. bahawa Baginda s.a.w bersabda, “Seutama-utama hari adalah hari Arafah”.

Amalan yang dianjurkan padanya:
1. Menunaikan ibadah haji dan umrah yang merupakan sebaik-baik amalan. Banyak hadis menyatakan kelebihan ibadah ini di antaranya: Sabda Nabi s.a.w.: “Satu umrah ke umrah yang lain menghapuskan (dosa) yang dilakukan di antara keduanya dan haji yang baik (diterima) tiada baginya balasan melainkan syurga”.

2. Berpuasa pada hari-hari tersebut atau sekadar kemampuannya – terutamanya pada hari Arafah. Tidak dinafikan bahawa puasa adalah di antara amalan yang terbaik dan ia adalah pilihan Allah seperti yang dinyatakan di dalam sebuah hadis qudsi, “Puasa itu adalah bagiKu dan Akulah yang membalasinya, dia meninggalkan keinginan nafsunya, makanan dan minumannya semata-mata keranaKu”.
Imam Muslim meriwayatkan dari Abi Qatadah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, “Puasa pada hari Arafah, saya mengharap Allah akan menghapuskan (dosa) setahun yang lalu dan setahun yang mendatang”. Puasa ini adalah bagi mereka yang tidak berwuquf di padang Arafah.

3. Takbir (Allahu Akbar) dan berzikir padanya, firman Allah s.w.t yang bermaksud, (Dan supaya mereka menyebut nama Allah pada beberapa hari yang termaklum), hari-hari tersebut dijelaskan sebagai 10 hari di bulan Zulhijjah. Sebab itulah para ulama menyarankan supaya diperbanyakkan berzikir pada hari-hari tersebut sebagaimana mafhum hadis Ibnu Umar r.a. yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad, di antaranya, “Oleh kerana itu perbanyakkanlah padanya tahlil (La Ilaha Illa Allah), takbir (Allah Akbar) dan tahmid (Alhamdulillah)”.

4. Bertaubat dan meninggalkan segala maksiat dan dosa, semoga dengan amalan baik dapat mencapai keampunan dan rahmat Allah. Ini kerana maksiat adalah punca kepada jauh dan terhindarnya seorang hamba dari rahmat Allah manakala ketaatan pula adalah punca dekat dan kasihnya Allah kepadanya.

5. Memperbanyakkan amalan soleh terutama amalan sunat tambahan seperti solat sunat, berjihad, membaca al-Quran, menyeru kepada kebaikan, mencegah kemungkaran dan seumpamanya kerana semuanya akan digandakan pada hari-hari tersebut.
Amalan yang dikerjakan ketika itu walaupun kecil tetapi ia lebih disukai oleh Allah dibandingkan pada hari-hari lain. Begitu juga amalan yang besar seperti berjihad di jalan Allah yang dikategorikan di antara amalan yang terbaik, tidaklah mendapat kehebatan pahala pada hari-hari itu melainkan apabila kuda (kenderaan) yang ditungganginya terbunuh (binasa) dan darahnya keluar (dia cedera atau mati syahid).

6. Disyariatkan bertakbir pada beberapa hari yang mulia itu pada waktu siang atau malam terutama selepas menunaikan fardu solat lima waktu yang dikerjakan secara berjemaah.
Bagi mereka yang tidak menunaikan ibadah haji, takbir bermula dari waktu subuh hari Arafah (9 Zulhijjah) dan bagi yang menunaikannya takbir bermula pada waktu Zuhur hari raya haji (10 Zulhijjah), semuanya berakhir sehingga waktu Asar pada hari ke-13 Zulhijjah.

7. Disyariatkan amalan korban (menyembelih haiwan ternakan) pada hari raya haji dan hari-hari Tasyriq (11, 12 dan 13 Zulhijjah). Ia merupakan sunah Nabi Ibrahim a.s. setelah Allah s.w.t mengujinya dengan perintah menyembelih anaknya Ismail tetapi ditebus ujian itu dengan digantikan seekor haiwan untuk disembelih.

8. Imam Muslim meriwayatkan dari Ummu Salamah r.a bahawa Nabi s.a.w bersabda, “Apabila kamu telah melihat anak bulan Zulhijjah dan ada di kalangan kamu yang ingin berkorban (sembelih haiwan ternakan), hendaklah dia menahan dirinya dari (memotong) rambut dan kukunya”. Di dalam riwayat lain: “Maka janganlah dia memotong rambut dan kukunya sehinggalah dia berkorban”.
Perintah (sunat) ini berkemungkinan ada persamaan dengan hukum bagi mereka yang membawa haiwan ternakan (ketika mengerjakan haji) dari kampung mereka yang telah dijelaskan oleh Allah, maksudnya, (Dan janganlah kamu mencukur rambut kamu sehinggalah haiwan ternakan (yang dibawa untuk dihadiahkan dagingnya kepada penduduk Mekah) itu sampai ke tempatnya).
Larangan (memotong rambut dan kuku) ini pada zahirnya adalah khusus kepada pemunya haiwan korban tersebut sahaja dan tidak termasuk isteri dan anak-anaknya melainkan mereka juga mempunyai haiwan seumpamanya, dan tidak mengapa jika yang berkenaan membasuh dan menggosok kepalanya kemudian terjatuh beberapa helai rambutnya.

9. Setiap muslim hendaklah berusaha menunaikan solat hari raya secara berjemaah, mendengar khutbah oleh imam selepas solat tersebut supaya mendapat pengajaran daripadanya.
Sepatutnyalah kita mengetahui hikmat di sebalik perayaan ini. Ia merupakan hari menyatakan kesyukuran dengan melakukan kebaikan. Janganlah pula dilakukan padanya perkara yang mendatangkan kemurkaan Allah dengan mengerjakan maksiat, kesombongan, pertengkaran dan sebagainya yang boleh menjadi sebab kepada terhapusnya amalan kebaikan yang dikerjakannya sebelum itu.

10. Penuhilah hari-hari berkenaan dengan ketaatan kepada Allah, berzikir, bersyukur, menunaikan perintah-Nya, menjauhi larangan-Nya, mendekatkan diri kepada-Nya semoga mendapat rahmat dan keampunan-Nya.

Oleh: Ustaz Abdul Halim Abdullah,
Blog: inijalanku.wordpress.com

p/s: jOm2 puasa sunat yok!

p/s2: Allah yang Maha Agung bersumpah dgn perkara-perkara yang agung sahaja termasuklah 10 hari-hari Zulhijjah. Sumpah itu boleh dijumpai dalam Surah Al- _ _ _ _ ^_^

Thursday 4 November 2010

Tabung Lembu

BismiLLah~

‎"Saudara, ketahuilah bahawa saya adalah seorang Ansar yang banyak harta, dan kiranya saudara sudi ambillah separuh dan kekayaan saya itu. Saya juga mempunyai dua orang isteri dan kiranya Saudara sudi mana satu antaranya, saya sedia menceraikannya supaya boleh saudara mengahwininya." kata Saad bin Rabi' kpd Abd Rahman b Auf.

Mengenangkan peristiwa hari itu mampu membuatkan saya tersengih lebar sehingga ke hari ini. Aktiviti yang disusun cukup simple, hati saya tidak menjangkakan bahawa air mata akan mengalir, membasahi pipi-pipi kami. Aturan Allah cukup hebat, hati saya yang agak gersang basah kembali menginsafi nilai ukhuwah yang sangat priceless. Nikmat yang lebih lazat daripda kek cheese strawberry =)

"Pilih sahabat yang paling kamu sayang, dan berikan harta paling berharga yang ada pada kamu sekarang. Sebutkan sebab mengapa kamu sayang kepada sahabat kamu, kemudian peluklah dia dengan hangat dan mesra."

Usai mendengar permintaan tersebut, ada seorang sahabat yang air matanya lantas turun bak hujan lebat di kala musim sejuk, mengalir tanpa henti. Dia mencapai tabung lembu kepunyaannya, erat dan kemas dia memeluk tabung tersebut. Tabung lembu itu sememangnya kesayangannya. Perlukah dia memberi yang itu? hati kecil saya berbisik. Tetapi sahabat itu jujur dan tulus..jujur memilih barang yang paling disayanginya, dan tulus dalam persaudaraan dan persahabatan.

"Eh, tak sebut pun sebab kenapa enti sayang dia?" (moderator hari itu memang bising! ^_^)

Dia masih belum berhenti menangis. "Sebab sayang tak perlukan sebab!"

Kata-katanya memang tepat menembak hati. Ukhuwah kerana Allah..memang tak memandang samada sahabat itu kiut, boleh ajar kita subjek pathology, atau suka belanja kita zinjer. Ukhuwah kerana Allah..memang mudah berlapang dada walaupun kadang-kadang tersakitkan hati, tertinggikan suara, atau tergurau berlebihan. Cukuplah iman sebagai batu asas, dan hang-out di syurga bersama-sama sebagai idaman..

Banyak lagi kisah persaudaraan yang menarik dan mengharukan pada hari itu. Ada barang yang malam sebelumnya berjam-jam dipujuk-rayu tanpa hasil untuk membelinya, terus diberikan secara percuma. Ada buku yang baru sahaja dibeli dan belum sempat dibaca, terus dihadiahkan kepada adik kesayangan. Semoga kisah-kisah ini dikenang dan diceritakan kepada anak cucu masing-masing mungkin :P

Ah, tetapi yang lebih penting moga kisah-kisah hari itu terus menjadi inspirasi untuk kita terus mengeratkan ukhuwah sesama kita. Semoga Allah redha dan tersenyum melihat percintaan dan persaudaraan kita.


وَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ لَوْ أَنْفَقْتَ مَا فِي اْلأَرْضِ جَمِيْعًا مَا أَلَّفْتَ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَلَكِنَّ اللهَ أَلَّفَ بَيْنَهُمْ إِنَّهُ عَزِيْزٌ حَكِيْمٌ

“Dan Yang mempersatukan hati mereka (orang-orang yang beriman). Walaupun kalian membelanjakan semua (kekayaan) yang berada di bumi, niscaya kalian tidak dapat mempersatukan hati mereka, akan tetapi Allah telah mempersatukan hati mereka. Sesungguhnya Dia Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.” (Al-Anfal: 63)


"Layanlah ana sebagai mad'u..jangan layan ana sebagai kawan biasa," bisik seorang teman. Hati yang tersentak ini ya Allah, moga Engkau sentiasa limpahkan petunjuk-Mu.

p/s1: Maaf zahir batin untuk semua yang mengenali diri ini. Sememangnya saya bukan orang yang terbaik untuk berbicara mengenai ukhuwah...

p/s2: One fun fact=Rupanya Mus3ab 3mayr dipersaudarakan dgn Abu Ayyub Al-Ansari! Sedih pula bila belum ada lagi rumah kat Irbid yang dinamakan dengan Abu Ayyub Al-Ansari. haha