Monday 15 November 2010

Korban Cinta

Saya pernah berpeluang menyaksikan Eidul-Adha disambut di Mesir. Cukup meriah! Di Jordan, penyembelihan haiwan-haiwan ternakan dipantau dan kebanyakannya dilakukan di ladang-ladang khas. Situasi di Mesir sangat berbeza, darah mengalir laju membasahi jalan-jalan raya, ada kaki lembu yang tercampak di bawah kereta, dan ada kepala kambing yang tersesat di kaki lima. Gambaran lahiriah yang mengujakan saya, tetapi hakikatnya konsep pengorbanan atau tadhiyah dalam Islam bukan hanya terbatas kepada korban binatang.

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Ada tiga perkara, yang jika tiga hal itu ada pada seseorang, maka dia akan berasakan manisnya iman. (Iaitu) Allah dan Rasul-Nya lebih dia cintai daripada selain keduanya; mencintai seseorang, dia tidak mencintainya kecuali kerana Allah; benci untuk kembali kepada kekufuran selepas Allah menyelamatkan darinya, seperti bencinya jika dicampakkan ke dalam api.
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim dari Anas bin Malik ra)

Dalam ziarah saya ke Turki sewaktu bulan Ramadhan, saya menyertai majlis berbuka puasa yang antara objektifnya adalah meraikan 2 orang saudara baru yang memeluk Islam. Kisah kedua-duanya memang hebat. Seorang wanita berasal dari Filipina dan seorang lagi wanita asalnya dari Poland. Lesia, wanita Poland itu menceritakan bagaimana dia berusaha mengenali Islam dalam keadaan masyarakat sekelilingnya, tiada seorang pun yang beragama Islam. Dia mengorbankan cintanya terhadap keluarganya, cintanya terhadap tanah-airnya, dan cintanya terhadap keselesaan hidup yang dinikmati sekian lama. Korban cinta yang dia lakukan membawanya ke Turki, lantas bumi asing itu menjadi tempat dia menumpang teduh, mengecapi kemanisan iman. Kisahnya mengetuk hati saya, dan akal menjadi bingung memikirkan apakah korban cinta yang telah saya lakukan untuk Allah..

Suatu hari, ada seorang adik yang cukup saya senangi meluahkan rasa hatinya. Dia mengaku yang dia gemar melihat drama-drama Korea, dan sedang ke arah membaiki diri meninggalkan kegemarannya itu. Mungkin ada yang pelik, menonton drama Korea bukanlah suatu kesalahan besar. Namun, pengakuan adik tadi menambahkan rasa hormat saya terhadap dirinya. Dalam keadaan ummah yang sedang nazak ini, berapa ramai daripada kita yang memandang ringan aktiviti-aktiviti yang kita lakukan untuk mengisi masa senggang. Sedangkan Salahuddin Al-Ayyubi mampu untuk berkata, "Bagaimana aku ingin ketawa sedangkan masjid Al-Aqsa masih di bawah jajahan musuh?"

Adik itu menyedarkan saya, rupa-rupanya saya terlepas pandang korban-korban cinta yang boleh dilakukan dalam kehidupan seharian. Betapa saya perlu mengorbankan cinta untuk terus berborak dengan emak apabila kedengaran laungan azan, betapa saya perlu mengorbankan cinta terhadap kerehatan apabila datangnya tetamu membawa berkat, dan betapa saya perlu mengorbankan cinta tehadap buku-buku cerita memandangkan banyak lagi buku akademik serta buku fikrah yang masih belum diselak. Semoga Allah memberi kekuatan kepada kita untuk melaksanakan korban-korban cinta, ikhlas kerana-Nya.

Daging dan darah binatang korban itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepada-Nya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan taqwa dari kamu. Demikianlah Dia memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat nikmat petunjuk-Nya. Dan sampaikanlah berita gembira (dengan balasan yang sebaik-baiknya) kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amalnya.
(al-Hajj: 36-37)


p/s: Eid Mubarak kpd keluarga dan sahabat-sahabat tersayang!

2 comments:

  1. ira, i like the part:
    Sedangkan Salahuddin Al-Ayyubi mampu untuk berkata, "Bagaimana aku ingin ketawa sedangkan masjid Al-Aqsa masih di bawah jajahan musuh?"

    teringat hari tu time bwk jr shopg kat balad, borak2 dgn pakcik souq sayidah tu lagi...
    tanya dia, awak sambut raya taun ni mcm mane?
    dia kata, biasa2 sahaja.. mcm mane boleh saya terlalu bergembira dgn eid sedangkan saudara2 saya di Iraq dan Palestin hidup dalam keadaan begitu?
    zuuuppp!

    ReplyDelete
  2. masyaallah....jom same2 korbankan sesuatu demiNYA....

    ReplyDelete